
Cara negara Asia berinteraksi dengan Amerika Syarikat dan China akan menentukan sama ada kebangkitan besar Asia akan membawa kepada era baharu kerjasama dan keamanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata ASEAN yang mewakili 600 juta penduduk akan memain peranan dalam menguruskan perhubungan itu.
Perdana menteri berkata Malaysia mempunyai hubungan kukuh dengan kedua-dua negara, Amerika dan China, serta berkongsi kepentingan bersama untuk rantau yang stabil, selamat dan aman.
"Saya percaya dengan mengekalkan keamanan antara sempadan kami dan kerjasama dalam rantau, kami boleh membuktikan bahawa pertumbuhan memberangsangkan di Asia akan mewujudkan dunia yang lebih baik, lebih selamat, dan lebih lestari.
"Kami menghargai janji yang diberikan kepada kami, oleh penduduk Asia, dan kepada mereka yang memandang kepada Asia dengan jangkaan dan harapan," kata Najib dalam ucaptama di Universiti Georgetown, di Washington, Selasa.
Najib yang dalam ucapannya menggariskan isu-isu utama yang menjejaskan keselamatan Asia, berkata terdapat beberapa persoalan dan isu penting yang akan mencorakkan masa depan Asia seperti kebangkitan China, titik tumpu Amerika terhadap Asia dan peningkatan penglibatan Jepun di rantau Asia.
Perdana menteri berkata dunia telah menyaksikan pembangunan ekonomi mengagumkan yang membawa China ke tahapnya sekarang dan bagaimana perubahan ekonomi China telah membuka peluang baharu bagi jiran dan rakan kongsinya.
Bagaimanapun, beliau berkata selain cuba memahami dan meniru kejayaan China, para pemerhati juga ingin mengetahui sama ada kebangkitan China membawa keamanan dan kemajuan dalam bidang ekonomi, atau menjurus kepada mempertahankan diri dan bersifat agresif.
"Kami mengalu-alukan kebangkitan China secara aman. Kami telah menyaksikan bahawa sebuah negara China yang berusaha meneruskan keamanan, kestabilan dan pembangunan bersama adalah rakan yang amat berharga bagi negara-negara maju dan membangun," kata Najib.
Mengenai peranan Amerika, beliau berkata Malaysia percaya Amerika akan kekal sebagai sebuah kuasa Pasifik, dan dalam jangka masa sederhana, Amerika akan meneruskan komitmennya ke arah memelihara keamanan, kestabilan dan kemakmuran, yang amat disambut baik oleh banyak negara Asia, yang menghargai persahabatan yang terjalin bertahun lamanya dalam hubungan dua hala dan serantau.
"Tetapi terdapat kebimbangan bahawa pentas telah diatur untuk 'permainan baharu yang lebih hebat' dan Asia - khususnya, Timur dan Asia Tenggara - akan mendapati ia berada pula di tengah-tengah percaturan antara persaingan kuasa-kuasa besar," katanya.
Perdana menteri berkata dalam tempoh dua tahun, dasar titik tumpu Amerika terhadap Pasifik sedang dilaksanakan.
Beliau berkata daripada segi ketenteraan, lebih separuh aset tentera laut Amerika kini berpangkalan di Asia.
"Daripada segi ekonomi, rundingan Perkongsian Trans-Pasifik masih diteruskan, dan kami berharap memperoleh perjanjian yang akan melindungi kedaulatan negara dan membuka peluang perdagangan untuk semua," kata Najib.
Menyentuh mengenai Jepun dan peranan yang dimainkan Tokyo dalam abad ke-21, Najib berkata: "Memandangkan banyak perhatian tertumpu kepada India dan China, terdapat kecenderungan untuk melupakan kekuatan ekonomi Jepun - dan perjalanannya ke arah kepimpinan serantau".
Najib berkata selain kebangkitan China dan peranan yang dimainkan oleh Amerika yang akan menentukan keseimbangan kuasa pada abad Asia, terdapat juga dua isu penting yang akan mempengaruhi peristiwa di rantau ini yang akan dihadapi Asia.
Perdana menteri berkata isu pertama adalah beberapa pertindihan tuntutan wilayah di Laut China Selatan yang ketegangan berbangkit daripadanya.
"Penyelesaian berhubung tuntutan ini akan menjadi ujian besar bagi Asia, ujian terhadap komitmen kami ke arah keamanan, dan bagaimana kami mencari mekanisme untuk menyelesaikan konflik ini," kata Najib.
Sehubungan itu beliau berkata prinsip permulaan haruslah menerusi penglibatan dan dialog, dan Asia mesti meletakkan kepercayaan dalam penyelesaian diplomatik.
"Kami perlu mematuhi prinsip asas, melaksanakan diplomasi yang baik, kesaksamaan kedaulatan, menghormati integriti wilayah, penyelesaian pertikaian secara aman dan manfaat bersama dalam perhubungan.
"Dan kami mesti mengesahkan komitmen kami kepada penyelesaian yang mengikut peraturan terhadap persaingan tuntutan. Undang-undang antarabangsa dan bukan paksaan ke atas ekonomi atau ketenteraan yang akan menentukan penyelesaian terhadap pertikaian ini," katanya.
Najib turut berpendapat pematuhan terhadap tatalaku yang ada adalah terbaik bagi memastikan perselisihan pendapat tidak memuncak.
"Tanpa ada kemajuan dalam pematuhan tatalaku ini bermakna pihak yang menuntut akan menggunakan pelbagai cara untuk mengukuhkan kedudukan mereka. Tindakan sebelah pihak akan menyukarkan lagi kedudukan sesebuah negara, yang menyebabkan penyelesaian semakin sukar dan mencabar," tegas beliau.
Najib menggariskan isu utama kedua sebagai kebangkitan militan radikal yang dipengaruhi agama, sambil berkata, Asia tidak terkecuali dalam hal ini.
Beliau menegaskan bahawa apabila agama dan perbezaan wilayah bertembung konflik yang dicetuskan akan bertambah teruk.
"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, gerakan militan di selatan Filipina telah merebak ke Sabah, perpecahan etnik memberikan kesan mendalam terhadap rakyat Rohingya di Myanmar dan selatan Thailand pula kucar-kacir akibat pemberontakan yang berlarutan.